CAMERON HIGHLANDS, 17 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan agar aspek kebersihan perlu diberi keutamaan oleh semua pihak terutama para peniaga di dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke kawasan peranginan seperti Cameron Highlands.

“Hal berkaitan kebersihan amat perlu dan mesti dititikberatkan. Setiap makanan yang dijual mesti dalam keadaan baik dan tidak tercemar.
“Makanan perlu ditutup. Bukan itu sahaja, kawasan persekitaran termasuk longkang perlu sentiasa dibersihkan. Sediakan tong sampah yang mencukupi,” titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli meninjau sekitar Bazaar Kea Farm di sini semalam.

Selain menyantuni para peniaga sekitar, Paduka Baginda turut beramah mesra dengan pengunjung termasuk pelancong asing.

Sepanjang lawatan di pusat peranginan itu, Paduka Baginda turut menyelami masalah dan rungutan daripada rakyat dan peniaga di Cameron Highlands.

Paduka Baginda berkenan menyampaikan kurniaan peribadi kepada kanak-kanak.
Turut hadir sepanjang lawatan ini, Ketua Polis Pahang, YDH Dato’ Sri Yahaya Othman; Pegawai Daerah Cameron Highlands, Kamarul Iskandar Nordin; Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, YDH Supt Azri Ramli; Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Rudyfasla Mujid.-KESULTANAN PAHANG
