PEKAN, 21 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat melawat Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pulau Keladi, di sini kelmarin.

Keberangkatan Paduka Baginda mengiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin bagi melihat aktiviti serta pameran Tenun Pahang yang dihasilkan di sini.

Paduka Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor berkenan melawat ke Rumah Serambi Pahang, Rumah Kelahiran Tun Razak, Balai Tengku Ampuan, Villa, Bengkel dan Balai Tengku Ampuan II di dalam perkampungan berkenaan.

Turut dilawati ialah Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja (Kraftangan), Cheminah Sayang sebelum berangkat ke Muzium Sultan Abu Bakar.

Di muzium berkenaan Paduka Baginda mengiringi Tengku Permaisuri Selangor melawat Galeri Pemerintahan Pahang, Galeri Daulat Tuanku, Galeri Istana sebagai Pusat Kebudayaan, Kesenian dan Intelektual/Wanita Dalam Istana, Galeri Arkeologi Pahang, Galeri Persona Inderapura sebelum ke Muzium Masjid Sultan Abdullah.

Mengakhiri lawatan, Paduka Baginda kemudiannya mengiringi Tengku Permaisuri Selangor ke Penjara Penor bagi melihat sendiri penghuni penjara menghasilkan Tenun Pahang Diraja yang begitu eksklusif dan istimewa. -KESULTANAN PAHANG
