KUANTAN, 6 MAC 2025 – Orang ramai diminta tidak terpedaya dengan satu tawaran ‘Bantuan Ramadan’ yang tersebar di aplikasi Tik Tok dengan menggunakan nama YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah.
Penyamar yang menggunakan nama @tpafzanaminahafidzatul di aplikasi berkenaan memberitahu bahawa bantuan Ramadan bernilai RM1000 akan dikurniakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj kepada orang ramai.
Orang ramai diminta untuk tidak mempercayai dan lebih berhati-hati dengan kewujudan akaun palsu khususnya yang menyediakan pautan yang disyaki membawa kepada kegiatan penipuan di atas talian (scammer).
Istana Pahang menafikan kewujudan akaun Tiktok di atas nama YAM Tengku Puteri Raja Tengku Afzan dan berharap orang ramai lebih berjaga-jaga dan mencari pasti kesahihan sesuatu perkara melalui portal dan akaun rasmi iaitu Kesultanan Pahang dan Istana Pahang sahaja.-KESULTANAN PAHANG