SINGAPURA 28 Mei 2025 – Komitmen serta kesungguhan yang telah dicurahkan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj kepada golongan wanita dan kanak-kanak telah mendorong kepada pengiktirafan dan jalinan kerjasama luar negara.

Paduka Baginda telah menunjukkan komitmen yang begitu hebat dalam memperjuangkan hak dan kesejahteraan wanita serta kanak-kanak di Malaysia. Melalui pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO) yang diusahakan dan disokong, Paduka Baginda telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan pendidikan golongan ini.

Ia dapat dilihat melalui penglibatan aktif Paduka Baginda di dalam Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) yang ditubuhkan pada tahun 2004 oleh Paduka Baginda sendiri selaku Pengasas dan Presiden Seumur Hidup.

Antara lain Paduka Baginda juga aktif dan memegang jawatan tinggi dalam Women’s Institute (WI) dan Associated Country Women of the World (ACWW), Girl Guides Association of Malaysia (GGAM) serta sebagai ahli Lembaga Pengarah Olave Baden-Powell Society (OBPS) iaitu sebuah organisasi wanita yang berperanan dalam pembangunan potensi gadis muda dan wanita di peringkat antarabangsa melalui pandu puteri.

Segala pengalaman luas dan bakti tidak berbelah bahagi Paduka Baginda telah menarik minat Temasek Foundation dan KKH dari Singapura untuk memberi kerjasama dalam memberi fokus terhadap intervensi awal kanak-kanak serta sokongan kepada pasangan suami isteri bagi mengukuhkan keluarga dan masyarakat seperti Bank Susu Ibu KK, Program KIDS 0-3 dan Projek ARIF.

Projek kerjasama dengan nama ‘My First 1000 Day yang memberi tumpuan dari usia awal kehamilan sehingga bayi yang dilahirkan berusia dua tahun ini turut melibatkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Ia adalah satu usaha untuk membangunkan inisiatif kesihatan ibu dan anak yang akan dilaksanakan sebagai projek rintis di Pahang.

Kebawah Duli Tuanku di dalam titah ucapan menyifatkan inisiatif “Dari Rahim ke Dunia” sebagai usaha penting dan tepat pada masanya untuk memperkasa para ibu dan keluarga melalui ekosistem penjagaan, sokongan dan pemerkasaan yang menyeluruh.

“Kita tahu melalui sains dan juga agama bahawa 1,000 hari pertama kehidupan..dari saat mengandung hingga ulang tahun kedua kelahiran..merupakan jendela suci bagi pertumbuhan dan perkembangan. Pada fasa awal inilah tubuh, minda dan jiwa kanak-kanak paling terbuka untuk dibentuk.

“Apabila kita menyantuni hari-hari awal ini dengan kasih sayang, penjagaan dan perlindungan, kita menetapkan haluan untuk seumur hidup,” titah Paduka Baginda dalam ucapan semasa lawatan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) di sini pada Selasa.

Paduka Baginda yang merupakan Ketua Perlembagaan UIAM, menyuarakan harapan agar inisiatif ini dapat diperluaskan ke negeri lain di Malaysia serta meneroka potensi kerjasama dengan institusi ternama lain seperti Majlis Tertinggi Ibu dan Kanak-Kanak di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Foundation, Ng Boon Heong berkata pihaknya menyambut baik peluang untuk bekerjasama dengan TAFF dan UIAM dalam inisiatif tersebut yang disifatkan berpotensi menjadi satu landasan berimpak tinggi dalam membentuk kehidupan sejak usia awal.

“Menerusi kerjasama ini, kami percaya kita dapat bersama membangunkan satu model kesihatan ibu dan anak yang bermakna, yang menghormati bukti sains dan tradisi budaya,” titah Paduka Baginda.

Turut hadir ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, ahli Lembaga Pemegang Amanah TAFF Datuk Seri Anne Eu, Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Respiratori Pediatrik Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah @ UIAM Prof Madya Datuk Dr Ahmad Fadzil Abdullah, dan Pengerusi Temasek Foundation Jennie Chua. – KESULTANAN PAHANG
