BERA, 18 September 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Pejabat Daerah dan Tanah Bera bagi persembahan Taklimat Pembangunan Daerah, hari ini.
Paduka Baginda tiba pada pukul 11 pagi diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.
Persembahan taklimat oleh Pegawai Daerah Bera, Dato Ahmad Nasim Mohd Sidek merupakan salah satu agenda dalam lawatan kerja Paduka Baginda ke Bera bermula semalam sehingga hari ini.
Paduka Baginda kemudian berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Fikri dan berkesempatan mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf sebelum berangkat pulang. -KESULTANAN PAHANG