CAMERON HIGHLANDS, 9 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang hari ini berkenan bercemar duli berangkat melawat 𝘚𝘶𝘴𝘵𝘢𝘪𝘯𝘢𝘣𝘭𝘦 𝘔𝘰𝘥𝘦𝘳𝘯 𝘈𝘨𝘳𝘪𝘤𝘶𝘭𝘵𝘶𝘳𝘦 Cameron Highlands (SMACH) Agropark – Fasa 1, di Tringkap, di sini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua di SMACH Agropark disambut oleh pengurusan serta pihak berkaitan sebelum berkenan melawat kawasan rumah hijau bagi melihat sendiri pelbagai tanaman yang diusahakan menerusi pendekatan pertanian moden dan teknologi terkini.
Dalam lawatan tersebut, Paduka Baginda berdua turut berkenan melihat perkembangan kaedah penanaman, pengurusan tanaman serta usaha meningkatkan hasil pertanian secara mampan, khususnya dalam sektor agropelancongan dan pertanian tanah tinggi Cameron Highlands.
Usai lawatan, Paduka Baginda berdua berkenan berangkat ke Nasi Campur Dulang Pahang bagi santapan tengah hari.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan bercemar duli bersiar-siar serta menyantuni rakyat dan pengunjung di Cameron Centrum dan Tokyo Town Cameron, sekali gus menceriakan suasana apabila orang ramai berkongsi rasa teruja dengan keberangkatan Paduka Baginda berdua.
Dalam kesempatan tersebut, Paduka Baginda berdua turut berkenan beramah mesra dan melayani sapaan rakyat serta pengunjung yang hadir. – KESULTANAN PAHAN








