BERA, 18 September 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Paya Serai, Kuala Bera di sini.
Hadir mengiringi paduka baginda ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan wakil kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mr Aamer Alteneiji.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyerahkan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 30 penerima melibatkan 16 buah keluarga di daerah Bera dan 14 buah keluarga di Bentong.
Paduka Baginda dalam titah mengakui bahawa Ru’RASA yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini begitu dekat di hati Paduka Baginda malah sentiasa mengambil maklum mengenai perkembangan projek berkenaan dari semasa ke semasa.
Paduka Baginda juga turut menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan Presiden UAE Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman demi keselesaan rakyat di negeri ini.
“Sepanjang kita bermula projek ini, saya ambil berat dan dapat laporan dari masa ke masa malah hadir sendiri untuk beri kunci rumah, dan daripada situ saya dapat rasai betapa seronoknya rakyat yang menerima.
“Begitu juga saya rasa seronok dapat menyantuni dengar khabar rakyat dan keluarga mereka sendiri,” titah Paduka Baginda.
Pada majlis tersebut Paduka Baginda turut berkenan melawat rumah penerima selain meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan semua penerima agar menjaga rumah yang dikurniakan dengan baik dan tidak menjualnya demi untuk mendapatkan keuntungan sementara.
“Harapan saya (mereka) yang dapat rumah ini jagalah sebaik mungkin hak ini sampai ke anak cucu, jangan ada fikiran nak jual atau sewakan…hasrat saya supaya penerima dapat duduk dengan selesa di sini,” titah Paduka Baginda. –KESULTANAN PAHANG