CYBERJAYA 26 Jun 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Pusat Alami Cytopeutics di Cyberjaya hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Berangkat sama mengiring Paduka Baginda ialah YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah di dalam titah perasmian turut menzahirkan rasa kagum dan berharap agar pusat ini terus memberi impak besar kepada rakyat Malaysia dalam bidang bioteknologi agar kefahaman mengenainya dapat dijelaskan dan diperluaskan dengan lebih terperinci.
“Ini juga adalah satu usaha atau ‘game changer’ bagi mana-mana mereka yang berusia lebih 65 tahun ke atas untuk hidup lebih sihat,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda menzahirkan agar kejayaan yang bakal dicapai pada masa akan datang tidak meminggirkan kelompok marhaen.
“Saya berharap tidak terlalu tumpu keuntungan sahaja tetapi jadikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) juga. Bantulah mereka yang memerlukan khususnya golongan yang kurang berkemampuan dan ia sekaligus dapat membina kumpulan rakyat yang lebih sihat.
“Jangan semata-mata (rawatan) untuk kumpulan elit sahaja, jadikan ia sebagai sumber perubatan bagi semua pihak. Semoga terus maju dan dikenali sehingga peringkat dunia seterusnya dapat lahir lebih ramai saintis dan pakar dalam bidang ini,” titah Paduka Baginda.
Pusat Alami Cytopeutics ini dibuka bagi menambah pengetahuan saintifik kepada orang ramai dan khususnya golongan muda dalam penyelidikan bidang perubatan. Ia memberi inspirasi untuk berinovasi dalam bidang bioteknologi berasaskan sel dan gen terapi bagi mencari rawatan alternatif baharu untuk penyakit yang masih belum ada penawar.
Sel stem mesenkimal tali pusat manusia daripada Cytopeutics atau Human umbilical cord mesenchymal stem cells (hUC-MSC) adalah yang pertama diiktiraf sebagai stem halal di dunia. -KESULTANAN PAHANG