PEKAN, 28 November 2026 – Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang atas kejayaan menerima Ijazah Sarjana serta anugerah Pelajar Terbaik bagi Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam daripada International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC-IIUM), bersempena Istiadat Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-42, hari ini.
Sesungguhnya kejayaan Paduka Baginda merupakan pencapaian yang amat membanggakan serta menjadi inspirasi kepada warga MKP dan masyarakat untuk terus menuntut ilmu, memperkasa pemikiran serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing.
Patik sekalian mendoakan agar pencapaian akademik Paduka Baginda menjadi sumber inspirasi serta terus menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pemikiran, khususnya dalam kalangan masyarakat Dunia Islam dan Dunia Melayu.
Semoga segala ilmu dan hasil kajian Paduka Baginda memberikan manfaat yang berpanjangan serta menjadi sumbangan bermakna kepada ummah. — KESULTANAN PAHANG





