GOMBAK, 28 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bersama-sama Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang serta paduka-paduka anakanda menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang atas kejayaan dianugerahkan Ijazah Sarjana Sastera Pemikiran dan Tamadun Islam, selain dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik peringkat Sarjana pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-42, hari ini.
Paduka Baginda menyifatkan bahawa kejayaan cemerlang KDPB Tengku Ampuan Pahang merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, bukan sahaja kepada seluruh keluarga diraja Pahang malah menjadi bukti bahawa kesungguhan, disiplin dan komitmen terhadap ilmu pengetahuan mampu membuahkan kejayaan meskipun di sebalik tanggungjawab besar yang digalas.
“Kejayaan ini menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada anakanda, cucunda serta seluruh Kerabat Diraja agar sentiasa mengutamakan ilmu pengetahuan, berusaha mencapai kecemerlangan dan tidak pernah berhenti menuntut ilmu dalam apa jua keadaan.
“Kejayaan ini juga diharap dapat menyuntik semangat kepada rakyat, khususnya golongan wanita dan generasi muda untuk terus memperkasa diri melalui pendidikan serta menjadikan ilmu sebagai asas membina masa depan yang lebih cemerlang,” titah Paduka Baginda
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut berbangga dan mendoakan agar segala ilmu serta hasil penyelidikan berkaitan Hukum Kanun Pahang dan terus akan memberi manfaat kepada negeri Pahang khususnya masyarakat serta menyumbang kepada perkembangan ilmu, pemikiran dan warisan perundangan Melayu-Islam. – KESULTANAN PAHANG





