JERANTUT, 16 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan hasrat untuk menjadikan Kampung Bantal sebagai Kampung Diraja pertama di negeri Pahang.
Paduka Baginda bertitah, ia boleh direalisasikan menerusi pelbagai pembangunan infrastruktur dan ekonomi termasuk beberapa buah projek utama yang sedang dirancang termasuk pembinaan jambatan serta jalan fasa kedua yang menghubungkan Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Sekolah Kebangsaan Gusai.
Menurut Paduka Baginda, pembangunan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan kemudahan rakyat malah menjadikan kawasan berkenaan lebih tersusun dan berdaya maju.
“Saya nak jadikan kampung ini sebagai kampung khas, dan jika beberapa penambahbaikan infrastruktur dapat dilaksanakan, kita naik taraf supaya jadi Kampung Diraja. Tiada lagi di Pahang ini ada Kampung Diraja, ini pertama kali, titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan alat perubatan oleh Institut Jantung Negara (IJN) dan bantuan kepada asnaf di Kampung Bantal, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa Kampung Bantal mempunyai nilai sentimental yang sangat istimewa kerana merupakan tempat yang dekat di hati keluarga Diraja sejak zaman Almarhum Sultan terdahulu lagi.
Malah, Paduka Baginda turut berseloroh dengan menyatakan bahawa nama “Bantal” juga merupakan nama panggilan keluarga kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang ketika zaman kanak-kanak.
“Itulah saya nak berkampung di sini dan bukan itu saja, moyang saya daripada Sultan Ahmad, Sultan Abdullah, Sultan Abu Bakar dan mereka semua yang telah berkhidmat (dengan moyang, nenda) menjadi saksi bahawa tempat ini sangat bermakna. Kampung ini meskipun jauh di mata, namun dekat di hati,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu Paduka Baginda turut memberi penekanan terhadap aspek kebersihan, pembangunan sosioekonomi dan kebajikan masyarakat termasuk bantuan berterusan kepada golongan asnaf menerusi Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Paduka Baginda di dalam titah turut mahu lebih ramai anak muda tempatan diberi peluang bekerja dan terlibat dalam pembangunan kawasan itu tanpa perlu berhijrah ke bandar.
“Kita tak mahu ambil orang luar, kita mahu orang kampung sendiri bangunkan kawasan ini,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







