KUANTAN, 18 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita di atas pencerobohan tanah kerajaan yang berlaku melibatkan kawasan seluas 14,494.908 hektar sejak lebih empat dekad lalu.
Titah Paduka Baginda, lebih malang apabila 5,997.09 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) juga telah diceroboh kononnya di atas nama pertanian dengan penanaman secara haram sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi namun hakikatnya ia adalah satu perompakan terbuka terhadap harta khazanah negeri.
“Masalah ini bukan baru bermula semalam. Ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lalu, dan berlaku tanpa pengetahuan beta ketika itu Beta masih lagi Tengku Mahkota Pahang dan tidak mempunyai kuasa dan peranan, tetapi sekarang Beta sudah pun menjadi Sultan. Sudah sampai masanya kita semua celik mata, sedarlah perkara ini satu perkara yang cukup merungsingkan dan merugikan kerajaan dan rakyat yang saya sama-sama sayangi.
“Namun, bukan niat Beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan. Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahkan kemelut pencerobohan tanah secara haram ini.
“Biarlah kisah lalu menjadi pengajaran. Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah Yang Maha Adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang dengan keadaan hari ini apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
“Beta ingin mengingatkan perjuangan yang bersandarkan kezaliman terhadap tanah hak milik negeri, tidak akan pernah sesekali mendapat restu beta.
“Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir pihak termasuk individu yang seharusnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, tetapi sebaliknya memilih untuk menyokong perbuatan yang tidak bertamadun ini. cukup memalukan,” kesal Paduka Baginda.
Titah Paduka Baginda lagi, tindakan sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi, bahkan boleh menjejaskan kedaulatan pentadbiran negeri.
“Janganlah kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan yang salah dimuliakan.
“Seiring dengan keputusan Kerajaan Negeri, Beta ingin menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram. Ini adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat,” tegas Paduka Baginda.
Titah Paduka Baginda lagi, pendekatan yang diambil bukan sekadar menghukum tetapi juga membina, Ia tidak hanya menamatkan pencerobohan, tetapi juga memulihkan semula maruah undang-undang serta menjana hasil kepada tanah negeri ini.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga dan penghargaan atas usaha Kerajaan Negeri bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang telah mula mengambil tindakan tegas di lapangan termasuk membuat tangkapan, memotong pokok-pokok yang ditanam secara haram dan juga menutup lombong-lombong yang dibuka tanpa rasa malu dan takut. –KESULTANAN PAHANG