PEKAN, 17 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat memasyurkan Masjid Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan nama Masjid Al-Jazari dan Majlis Berbuka Puasa UMPSA di sini semalam.

Masjid UMPSA yang dibina di atas tanah seluas 7.5 ekar siap dibangunkan selepas tujuh tahun pembinaan dan masjid ini telah mula beroperasi dengan pelaksanaan solat Jumaat pertama pada 5 Julai 2024 dan mampu menampung sehingga 3,500 jemaah dalam satu masa.

KDPM Tengku Mahkota Pahang yang merupakan Pro-Canselor UMPSA turut berkenan mengurniakan sumbangan duit raya daripada Yayasan UMPSA kepada 100 pelajar yang layak.

Turut berangkat mengiring ialah YAM Tengku Arif Temenggung Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Hadir sama ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias- KESULTANAN PAHANG
