KUANTAN, 29 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pasukan Hoki Pahang atas kejayaan cemerlang merangkul pingat emas berganda pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Kejayaan membanggakan itu dicapai selepas pasukan hoki Pahang muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita, sekali gus melakar pencapaian gemilang buat kontinjen Pahang di pentas SUKMA XXII.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa bangga atas semangat juang, disiplin, komitmen dan kesungguhan tinggi yang dipamerkan para atlet, jurulatih serta seluruh pengurusan pasukan sepanjang kejohanan.
Paduka Baginda berdua berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada para atlet Pahang untuk terus meningkatkan prestasi dan mengharumkan nama negeri dalam kejohanan sukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dokongan kepada Pasukan Hoki Pahang sehingga berjaya mencapai kejayaan bersejarah itu. – KESULTANAN PAHANG








