KUALA LUMPUR 27 Okt. – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat ke Majlis Pemakaian Pangkat kepada paduka-paduka anakanda iaitu YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Mu’adzam Shah di Istana Negara di sini hari ini.
Berangkat sama ke majlis tersebut ialah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain bin Jantan.
Dalam majlis tersebut, YAM Tengku Arif Bendahara dipakaikan pangkat Leftenan Muda dan ditempatkan sebagai Ketua Platun di Rejimen 505 askar wataniah.
Manakala, YAM Tengku Panglima Raja dipakaikan pangkat Brigedier Jeneral Komander Rejimen 505 askar wataniah dan YAM Tengku Panglima Perang pula dipakaikan pangkat Leftenan Muda dengan ditempatkan di Rejimen Pertama Kor Armor Diraja.
Seri Paduka Baginda berdua menyempurnakan pemakaian pangkat kepada paduka-paduka anakanda. – ISTANA PAHANG