KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat melawat Agroz EduFarm-in-City, sebuah ladang pertanian vertikal dalam bangunan yang terletak di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju, di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Agroz Group Sdn Bhd, Mr Gerard Lim Kim Meng; Pegawai Agroz, Isaac Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH), Dato’ Luuk Rania.
Pada lawatan tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda berkenan meninjau dengan lebih dekat konsep pertanian bandar berteknologi tinggi yang mengaplikasikan sistem Controlled Environment Agriculture (CEA), kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital agritech bagi menghasilkan sayuran segar secara terkawal dan bebas racun perosak.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan melihat kemudahan pusat pembelajaran dan pengalaman serta ruang aktiviti yang disediakan bagi memberi pendedahan kepada keluarga, pelajar sekolah serta orang ramai mengenai kaedah pertanian bandar dan amalan pertanian lestari.
Lawatan berkenaan mencerminkan kepentingan penerapan teknologi dan inovasi dalam sektor pertanian, khususnya dalam mengoptimumkan penggunaan ruang serta pengeluaran makanan segar di kawasan bandar.
Agroz EduFarm-in-City yang meliputi kawasan kira-kira 0.05 hektar atau sehingga 8,000 kaki persegi itu turut diiktiraf The Malaysia Book of Records sebagai ‘Largest Indoor Vertical Farm in a Shopping Mall’.
Antara tanaman yang diusahakan termasuk pelbagai jenis salad seperti Green Butterhead, Red Butterhead, Green Coral, Red Coral, Green Oak, Red Oak, Green Frizzy Leaf dan Red Frizzy Leaf, selain Vicinity, Gem, Cos, Crispinet, Eazarix, Milky Bok Choy, Dwarf Bok Choy, Wild Rocket, Green Kale, Dino Kale, Red Kale dan Arugula.
Agroz EduFarm-in-City turut diperakui di bawah Malaysian Good Agricultural Practices (myGAP) bagi pengeluaran 20 jenis sayuran bebas racun perosak, sekali gus menyokong usaha menyediakan hasil pertanian yang segar dan selamat kepada pengguna. – KESULTANAN PAHANG







