KUANTAN, 2 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan membuat demonstrasi penyediaan menu mee siam sempena Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Dalam sesi tersebut, Paduka Baginda berkenan menunjukkan sendiri cara penyediaan mee siam, sekali gus menzahirkan sokongan terhadap usaha memelihara dan memperkenalkan warisan kulinari kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Demonstrasi berkenaan turut memberi peluang kepada pengunjung menyaksikan secara dekat kemahiran penyediaan hidangan tradisional yang menjadi sebahagian daripada khazanah makanan dan budaya masyarakat dan yang lebih bertuah, pengunjung yang ada dapat merasai sendiri air tangan Paduka Baginda.
Keberangkatan Paduka Baginda ke Temasya Warisan Pahang 2026 turut diiringi anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – KESULTANAN PAHANG








