KUANTAN, 8 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menegaskan bahawa isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keharmonian negeri mesti dihentikan serta-merta.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda bertitah, insiden memijak kitab suci al-Quran di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dipandang serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
“Saya tegaskan bahawa tiada kompromi dalam sebarang cubaan untuk mengganggu gugat keharmonian di negeri saya khususnya melalui permainan isu-isu 3R,” titah Paduka Baginda.
Menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, Paduka Baginda turut menyeru semua pihak agar tidak memainkan isu sensitif yang boleh menggugat perpaduan rakyat.
“Saya mahu isu-isu 3R ini dihentikan,” titah Paduka Baginda dengan tegas.
Paduka Baginda bertitah, semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu bertanggungjawab dalam setiap tindakan selain menjunjung tinggi nilai hormat, toleransi dan undang-undang demi mengekalkan keharmonian negeri.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyeru agar amalan politik matang diterapkan oleh semua pihak dengan pembangkang memainkan peranan semak dan imbang secara konstruktif manakala kerajaan terus memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara tanpa ada yang tercicir.
Paduka Baginda menegaskan bahawa sebarang tindakan yang sengaja menimbulkan kebencian antara kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali di negeri Pahang. -KESULTANAN PAHANG





