KUANTAN, 8 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Kerajaan Persekutuan lebih cakna dan menghormati hak-hak negeri Pahang khususnya dalam aspek perundangan, hasil negeri serta pelaksanaan projek pembangunan.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda menzahirkan keprihatinan terhadap keadilan undang-undang Persekutuan yang disifatkan tidak berpihak kepada hak negeri Pahang.
“Pahang merupakan antara empat negeri terawal yang membentuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan menjadi asas penting kepada pembentukan Malaysia. Hasil negeri-negeri bersekutu ketika itu disatukan dan disalurkan kembali mengikut kesesuaian keempat-empat buah negeri.
“Saya berharap kerajaan pusat turut memberikan keutamaan pengorbanan kepada besar negeri negeri Pahang kerana untuk mengekalkan keluasan hutan yang luas, alam flora, dan fauna serta gunung-ganang yang menjadi tunjang kestabilan ekosistem, kawasan tadahan hujan dan biodiversiti di Semenanjung Malaysia,” titah Paduka Baginda.
Menurut Paduka Baginda, pengorbanan negeri ini tidak boleh sama sekali diukur dengan nilai sumbangan cukai kepada persekutuan tetapi cukup signifikan dari segi keseimbangan alam sekitar, khususnya di Semenanjung Malaysia.
“Kerajaan pusat seharusnya tidak menafikan pengorbanan negeri Pahang ini dan lebih mengutamakan negeri Pahang yang merupakan negeri yang terbesar di Semenjung Malaysia.
“Saya begitu kecewa apabila kerajaan pusat tidak meluluskan usaha negeri Pahang untuk menambahkan hasil negeri seperti eksport pasir sungai memandangkan negeri Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia yang sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar kelancaran pengaliran air sungai berlaku seterusnya mengelakkan banjir.
“Sebelum ini, kita dapat menambahkan hasil negeri berpuluh-puluh juta dengan eksport pasir ke negara lain tetapi malangnya, kerajaan pusat tidak lagi membenarkannya sekarang ini sedangkan hasil tanah dan pasir ini merupakan hak negeri,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda menegaskan agar kerajaan persekutuan memberi lebih ruang dan kuasa kepada kerajaan negeri dalam pelaksanaan projek pembangunan termasuk mengutamakan syarikat serta kontraktor berasal dari Pahang yang berkelayakan dan kompeten.
“Saya mahu peluang seperti ini diberikan kepada anak-anak negeri Pahang untuk melaksanakan projek-projek,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menegaskan bahawa hak negeri Pahang sewajarnya dikembalikan kepada negeri dan berharap Kerajaan Persekutuan meneliti semula perkara tersebut.
Pada masa sama, Paduka Baginda turut menzahirkan pendirian bahawa negeri Pahang merupakan sebuah negeri berdaulat yang tidak memerlukan campur tangan daripada mana-mana pihak luar dalam urusan perundangan negeri.
“Sebarang salah laku yang berlaku di negeri Pahang perlu diadili di mahkamah secara adil dan saksama,” titah Paduka Baginda.-KESULTANAN PAHANG







