KUANTAN, 3 Sept. 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj menyeru agar semua rakyat bersama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza.
Sebanyak 24 kapal flotila dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol, berlepas ke Gaza pada Ahad lalu membawa mesej kemanusiaan dan bekalan bantuan asas. Misi ini disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa dari 44 negara, termasuk 15 wakil dari Malaysia.
Fasa berikutnya akan menyaksikan 15 delegasi Malaysia kumpulan kedua berangkat dari sebuah pelabuhan di Itali esok bersama delegasi antarabangsa lain, serentak dengan pergerakan kumpulan ketiga dari Malaysia yang kini berada di Tunisia.
Flotila Solidariti Global (GSF) menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika, Amerika Latin dan Asia Barat, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta menjadikan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis di Gaza. -KESULTANAN PAHANG







