KUANTAN, 1 Januari 2026 – Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) dengan penuh hormat dan takzimnya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pengurniaan gelaran Tengku Puan Bendahara kepada Yang Hormat Mulia Tengku Natasha Puteri binti Tengku Adnan.
Gelaran baharu itu telah mendapat perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah buat suri YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa hari ini, 1 Januari 2026 bersamaan 11 Rejab 1447 Hijrah.
Patik pacal-pacal sekalian mendoakan kurniaan gelaran tersebut memberi kebaikan buat YHM Tengku Puan Bendahara sebagai pendamping setia untuk memberi semangat, sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada YAM Tengku Arif Bendahara.
Semoga jua YHM Tengku Puan Bendahara dikurniakan kebahagiaan, rahmat serta perlindungan dari Allah SWT dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai keluarga Diraja Pahang yang sentiasa menjunjung tinggi adat, warisan serta nilai murni Kesultanan Melayu Pahang.
Patik pacal-pacal sekalian juga berdoa semoga segala usaha dan pengorbanan YHM Tengku Puan Bendahara sentiasa diberkati Allah SWT, serta dikurniakan kesejahteraan berpanjangan, kebahagiaan rumah tangga dan kehidupan yang dirahmati di dunia dan di akhirat. -KESULTANAN PAHANG








