TEMERLOH, 12 Januari 2026 – “Perasaan sekarang ini sangat gembira sampai tak terkata, rasa macam mimpi dapat hadiah perkahwinan daripada Paduka Baginda berdua”.
Demikian luah Muhammad Shah Amirul Mustaffa, 24, selepas dia dan isteri, Rosyamimie Syahira Rosli menerima kurniaan hadiah perkahwinan daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Kurniaan Paduka Baginda berdua disampaikan oleh Pegawai Agama Istana, Leftenan Kolonel Anuar Mohd Ehwal kepada pasangan pengantin ini di kediaman mereka di Kampung Paya Pulai, di sini hari ini.
“Kami hanya orang biasa, tak pernah terfikir dapat hadiah daripada Paduka Baginda berdua. Terima kasih tuanku, bukan (dapat) satu tapi tiga hadiah, perasaan memang tak dapat nak gambar atau luahkan.
“Semoga Paduka Baginda berdua dilanjutkan usia dan dimurahkan rezeki,” katanya.
Momen bertuah pasangan pengantin ini dirakam pada 3 Januari lalu ketika sedang menjalani sesi fotografi perkahwinan mereka di menara jam berhampiran kawasan Istana Sri Udara di Temerloh.
Paduka Baginda berdua yang lalu di situ berkenan turun daripada kenderaan menyantuni pasangan pengantin ini menjadikan momen spontan itu tular di media sosial menunjukkan keperibadian Paduka Baginda berdua yang sentiasa dekat dengan rakyat. -KESULTANAN PAHANG







