JERANTUT, 12 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menasihatkan wanita di negeri ini agar tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk berkahwin, khususnya melibatkan pasangan warganegara asing.
Paduka Baginda bertitah, sejak kebelakangan ini Paduka Baginda mengambil maklum mengenai kecenderungan berlakunya perkahwinan antara wanita tempatan dengan warganegara asing.
“Pada asasnya perkara ini bukanlah suatu kesalahan selagi ia dilaksanakan menurut lunas syarak serta mematuhi undang-undang. Islam tidak menutup pintu perkahwinan merentasi bangsa dan sempadan, selagi ia dibina atas asas iman, kejujuran dan tanggungjawab.
“Namun demikian, saya ingin menasihatkan agar seluruh wanita di negeri ini tidak terburu-buru dalam membuat keputusan yang menyentuh masa depan dan maruah diri. Perkahwinan bukan sekadar ikatan rasa, tetapi suatu amanah besar yang menentukan arah perjalanan hidup seseorang,” titah Paduka Baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut mengingatkan bahawa kesilapan dalam memilih pasangan boleh membawa kesan yang berpanjangan dalam kehidupan rumah tangga.
Menurut Paduka Baginda, tidak dapat dinafikan terdapat juga segelintir individu warganegara asing yang mungkin mempunyai niat tidak baik terhadap wanita tempatan, sama ada untuk mengambil kesempatan atau memperdaya demi kepentingan diri.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menasihatkan agar wanita membuat penelitian yang teliti terhadap asal-usul, latar belakang, pekerjaan serta kemampuan sebenar bakal pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Jangan mudah terpesona dengan janji manis atau gambaran indah semata-mata, atau kecantikan, ketampanan, hidung mancung lah, kulit putih ke, hitam ke dan sebagainya…berhati-hati lah. Kepada keluarga pula, saya menyeru agar terus menjadi benteng nasihat dan bimbingan kepada anak-anak kerana keputusan besar seperti perkahwinan menuntut pertimbangan yang matang dan kebijaksanaan.
“Sesungguhnya, perkahwinan sepatutnya menjadi pintu kebahagiaan dan bukan jalan kepada kesusahan. Maka pilihlah pasangan hidup dengan akal yang waras dan iman yang teguh, agar rumah tangga yang dibina benar-benar menjadi tempat bernaung yang membawa ketenangan dan keberkatan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG








