KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian CIMB Artober 2026 di Ombak KLCC, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Pengerusi CIMB Group, Datuk Syed Zaid Albar serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan menyaksikan tayangan montaj sebelum menyempurnakan gimik perasmian dan kemudiannya berangkat melawat reruai pameran.
Acara yang berlangsung selama lima hari di Ombak KLCC bermula pada 28 Oktober hingga 1 November ini menghimpunkan 15 galeri dan usahawan kreatif dengan mengetengahkan pelbagai karya seni tempatan.
Program berkenaan turut menyediakan ruang kepada pengumpul karya berpengalaman dan peminat seni baharu untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian bakat serta karya seni tempatan.
Pengunjung juga berpeluang meneroka pameran seni terkurasi, menyertai program apresiasi seni serta menghadiri sesi perkongsian ilmu. Mereka juga boleh berinteraksi secara langsung dengan artis, pemilik galeri, pengumpul karya dan pakar seni.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasa seni dan industri kreatif negara. – KESULTANAN PAHANG





