SELANGOR, 25 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pengiktirafan Pencapaian Saintifik Alpha IVF di sebuah pusat membeli belah di Kota Damansara, di sini hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda pada pukul 11.30 pagi disambut oleh barisan pengurusan Alpha IVF Group Berhad serta tetamu jemputan dalam majlis yang meraikan pencapaian saintifik dalam bidang rawatan kesuburan dengan tema ‘A Record in Science. A Celebration of Life’ itu.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan titah berkongsi pengalaman menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak 17 kali untuk memperoleh cahaya mata.
“Perjalanan untuk bergelar ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah bagi semua pasangan. Ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun, membuat keputusan yang sukar serta menghadapi cabaran emosi dan kewangan.
“Pengalaman saya sendiri mengajar erti kesabaran, ketabahan dan keimanan yang diperlukan sepanjang perjalanan ini, sekali gus mengukuhkan tekad saya untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran yang sama,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, melalui Tunku Azizah Fertility Foundation (TAFF) yang ditubuhkan pada 2004, usaha membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan terus diperkasa menerusi kerjasama dengan Alpha IVF & Women’s Specialists, termasuk penyediaan rawatan bersubsidi kepada pasangan yang memenuhi syarat.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar kemajuan sains kesuburan terus disertai sifat belas ihsan, penjagaan dengan penuh tanggungjawab dan sokongan berterusan agar pasangan yang berdepan cabaran kesuburan tidak perlu melalui perjalanan itu bersendirian.
Majlis tersebut turut meraikan pengiktirafan Malaysia Book of Records atas pencapaian Alpha IVF dalam mencatatkan kadar persenyawaan melalui kaedah suntikan sperma intrasitoplasma (Intracytoplasmic Sperm Injection – ICSI) sebanyak 84.4 peratus.
Pencapaian berkenaan mencerminkan kepakaran serta komitmen pakar kesuburan dan ahli embriologi dalam bidang rawatan reproduktif, sekali gus membawa harapan kepada pasangan yang sedang berusaha untuk menimang cahaya mata.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Dato’ Dr. Colin Lee; Pengarah Saintifik Kumpulan Alpha IVF Group Berhad, Cik Adelle Lim Yun Xin; pelopor kehamilan IVF pertama di Malaysia, Dr. Haris Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Book of Records, Christopher Wong. – KESULTANAN PAHANG





