KUANTAN, 29 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan menerima mengadap 14 orang anggota pengiring rapat Istana Pahang yang akan menyertai Kursus Asas Payung Terjun Statik Ram Air Siri 1/2026 bermula esok sehingga 10 April depan.
Pada sesi itu, Paduka Baginda turut berkenan memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada semua peserta agar berhati-hati dan mengikuti kursus berkenaan dengan bersungguh-sungguh.
Kesemua peserta terlibat akan menjalani dua fasa kursus yang diselaraskan oleh Juruiring ATM KDPB Sultan Pahang, Kolonel Mohd Razlan Bin Jamaludin TUDM iaitu fasa pertama (teori) di Markas Rejimen TUDM Jugra manakala fasa kedua (penerjunan) di Pangkalan Udara Kuantan. Kursus ini akan dikendalikan oleh Jurulatih dari Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sambil dibantu oleh Jurulatih dari Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU). -KESULTANAN PAHANG







