KUANTAN, 31 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Santunan Kasih UIAM di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz dan disambut Presiden UIAM, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan mengurniakan sumbangan bantuan kewangan kepada 120 orang mahasiswa dalam kalangan pelajar asnaf melalui bantuan Khairat UIAM Kuantan di bawah seliaan Tabung Endowmen UIAM (IEF).
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan penyampaian replika cek cura oleh Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP) dan IIUM Medical Specialist Centre (IMSC) sebagai simbolik sumbangan kepada UIAM melalui Tabung Endowmen UIAM (IEF) yang akan disalurkan kepada pelajar-pelajar UIAM yang memerlukan bantuan sepanjang pengajian.
Dalam majlis yang sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang turut berkenan menyampaikan anugerah dan insentif sukan kecemerlangan kepada tiga orang pelajar yang menjadi ikon sukan universiti di UIAM. Anugerah itu diberikan kepada atlet mahasiswa UIAM yang mengharumkan nama universiti dan negara melalui pencapaian pingat di Sukan SEA ke-33 serta Sukan PARA ASEAN ke-13 pada tahun 2025.
Sementara itu Paduka Baginda menyifatkan program berkenaan merupakan manifestasi nyata komitmen UIAM terhadap ummah terutamanya dalam membantu golongan pelajar yang memerlukan.
“Apabila kita menghulurkan bantuan kewangan kepada para pelajar asnaf melalui Tabung Khairat UIAM Kuantan dan Tabung Endowmen UIAM, kita sebenarnya menyampaikan suatu mesej yang mendalam bahawa kemiskinan seseorang anak muda tidak seharusnya menentukan batas masa depannya. Keadaan hidup yang mencabar tidak wajar memadamkan sinar potensi yang dimilikinya.
“Pada hari ini, setiap nama dalam senarai (asnaf) tersebut melambangkan harapan sebuah keluarga, pelaburan sebuah komuniti, dan janji institusi ini yang ditunaikan. Setiap sumbangan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, demi ilmu dan membantu mereka yang memerlukan, merupakan amal yang berpanjangan pahalanya. Terima kasih kepada badan-badan korporat serta agensi Kerajaan Negeri yang dihormati.
“Inilah universiti sebagaimana seharusnya, bukan menara gading yang terpisah daripada realiti kehidupan masyarakat, tetapi merupakan sebahagian hidup daripada masyarakat itu sendiri yang peka terhadap keperluannya dan berakar pada kesejahteraannya,” titah Paduka Baginda juga.
Paduka Baginda turut menyampaikan ucapan tahniah kepada pelajar-pelajar UIAM yang telah mengharumkan nama universiti dan negara melalui penglibatan dalam sukan di peringkat antarabangsa.
“Ia membuktikan bahawa kecemerlangan mampu dicapai apabila bakat digandingkan dengan disiplin serta disokong oleh institusi yang percaya kepada warganya. Pencapaian anda melangkaui keputusan di papan skor. Anda adalah kebanggaan UIAM dan sumber inspirasi kepada setiap pelajar di kampus ini,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






