KUANTAN, 31 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang di atas kejayaan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pengumuman keputusan peperiksaan berkenaan pada pagi tadi menyaksikan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) yang pertama kali membuka pusat peperiksaan pada tahun lalu dengan 48 orang calon menduduki peperiksaan memperoleh Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60 di mana 40 orang calon memperoleh keputusan A dalam semua mata pelajaran dan kesemua calon layak menerima sijil.
Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) pula terus mengekalkan kecemerlangan apabila 25 daripada 70 orang calon memperoleh keputusan semua A dalam semua mata pelajaran dan semua calon layak sijil dengan catatan GPS 1.06 mata.
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga dan syukur atas pencapaian cemerlang yang diraih oleh Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP) dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), sekaligus mengangkat nama negeri Pahang sebagai antara peneraju kecemerlangan pendidikan tahfiz di negara ini.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang, khususnya melalui Yayasan Pahang, atas usaha berterusan dalam memperkukuh serta memartabatkan institusi pendidikan tahfiz di negeri ini.
Inisiatif dan sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri disifatkan sebagai pemangkin utama kepada kejayaan yang dicapai, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang dan berdaya saing.
Menurut Paduka Baginda berdua, kejayaan ini juga mencerminkan kesungguhan luar biasa para pelajar serta komitmen tinggi para pendidik dalam memastikan kecemerlangan yang seimbang antara akademik dan hafazan al-Quran.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua bertitah bahawa pencapaian tersebut membuktikan bahawa sistem pendidikan tahfiz mampu melahirkan generasi yang holistik, berilmu dan berakhlak mulia, selaras dengan aspirasi untuk membangunkan modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para guru, tenaga pengajar serta ibu bapa yang menjadi tunjang kepada kejayaan para pelajar, di samping menekankan bahawa usaha berterusan dan disiplin tinggi adalah kunci utama kepada kecemerlangan tersebut.
Sementara itu, Paduka Baginda berdua bertitah bahawa kejayaan yang dicapai oleh para pelajar ini wajar dijadikan sumber inspirasi kepada seluruh generasi muda agar terus berusaha dengan penuh iltizam dan keikhlasan dalam menuntut ilmu.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar para pelajar akan terus mengekalkan kecemerlangan serta memanfaatkan ilmu yang diperoleh untuk memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berdua berharap agar kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kedua-dua institusi untuk terus melakar kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan serta menjadi contoh kepada institusi pendidikan lain di seluruh negara.
Paduka Baginda berdua turut menyeru agar semua pihak terus berganding bahu dalam memastikan kecemerlangan pendidikan tahfiz dapat dipertahankan dan diperkasakan demi kesejahteraan ummah dan kemakmuran negeri. -KESULTANAN PAHANG







