ABU DHABI, 16 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Emiriah Arab Bersatu, Yang Mulia Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan bersempena dengan keberangkatan Paduka Baginda ke negara berkenaan.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi kedua-dua pemimpin bertukar-tukar pandangan khususnya isu serantau serta membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Pahang dengan Kerajaan Abu Dhabi dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Selain itu, pertemuan berkenaan turut membuka ruang untuk meneroka potensi kerjasama yang lebih luas, termasuk dalam hubungan ‘people-to-people’ kemanusiaan.
Kerjasama strategik yang dapat diperkukuh menerusi pertemuan ini diharap menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat antara Kerajaan Abu Dhabi dengan negeri Pahang, selain menarik minat pelabur dari negara berkenaan untuk meneroka peluang pelaburan dalam sektor-sektor berpotensi di negeri ini. – KESULTANAN PAHANG






