KUANTAN, 8 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat beragama Hindu, khususnya di negeri Pahang.
Paduka Baginda berdua berharap agar perayaan Deepavali disambut dalam suasana penuh kegembiraan, keharmonian dan kebahagiaan bersama keluarga serta insan tersayang.
Paduka Baginda berdua turut berharap agar sambutan perayaan itu terus menjadi wadah untuk memperkukuh semangat perpaduan, saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Kepelbagaian budaya dan kepercayaan merupakan kekuatan yang perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terjamin.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar seluruh rakyat dapat terus hidup dalam penuh kesejahteraan, kebahagiaan dan kemakmuran serta aman dan harmoni. – KESULTANAN PAHANG







