KUANTAN 24 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menerima mengadap Menteri Waqaf Mesir, Dr. Usamah Sayyid Mahmud Muhammad Al-Azhari
dalam satu sesi mengadap yang berlangsung di Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Turut mengadap ialah Setiausaha Fatwa (Amin al-Fatwa), Syeikh Dr. Ahmad Mamduh Saad Al-Azhari dan Pengasas Darul Hadith Lil Irtsin Nabawi di Tarim, Hadramaut, Yaman, As-Syeikh Al-Musnid Dr. Yasir Al-‘Adni bin Salim Asy-Syahiri.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal bin Ab Rahman dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YH Dato’ Dr. Asmadi bin Mohamed Naim.
Paduka Baginda meluangkan masa hampir satu jam berbincang dan bertukar-tukar pandangan berkaitan pembangunan dan penghayatan ilmu agama dalam mendepani keperluan ummah semasa serta memperkasa peranan institusi agama dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berteraskan kefahaman Islam yang sebenar.
Sesi mengadap ini mencerminkan komitmen berterusan Paduka Baginda dalam memperkasa hubungan dan memartabatkan keilmuan Islam termasuklah yang berkaitan Negeri Pahang.- KESULTANAN PAHANG





