KUANTAN, 24 November 2026 โ Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menjadi ๐จ๐ข๐ฎ๐ฆ ๐ค๐ฉ๐ข๐ฏ๐จ๐ฆ๐ณ atau pencetus perubahan besar kepada landskap pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri-negeri Pantai Timur.
Paduka Baginda bertitah, pelaksanaan projek mega itu bukan sahaja bakal merapatkan jurang pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, malah membuka lembaran baharu dalam memperkukuh jaringan pengangkutan, merancakkan ekonomi serta meningkatkan kemakmuran rakyat.
Menurut Paduka Baginda, pembangunan infrastruktur di Pantai Barat sebelum ini lebih pesat berbanding Pantai Timur, antaranya disokong oleh kemudahan jaringan lebuh raya yang dibangunkan lebih awal.
โDengan adanya ECRL ini, saya berharap negeri-negeri di sebelah Pantai Timur akan dapat maju dan turut menikmati pembangunan yang lebih menyeluruh,โ titah Paduka Baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Stesen ECRL KotaSAS, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana Pahang memperoleh tujuh stesen ECRL yang merangkumi KotaSAS, Cherating, Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong, sekali gus mencatatkan jumlah stesen paling banyak berbanding negeri lain yang terlibat dalam projek berkenaan.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menzahirkan harapan agar setiap stesen ECRL di negeri ini dibangunkan sebagai hab pertumbuhan ekonomi setempat dan bukan sekadar menjadi lokasi persinggahan penumpang.
โSaya harap setiap stesen ini akan menjadi satu hab pembangunan ekonomi. Jangan sekadar hanya ada stesen tetapi tidak memajukan kegiatan ekonomi setempat, khususnya di semua daerah yang mempunyai stesen kereta api ini,โ titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya semua kementerian dan pihak yang terlibat dalam merealisasikan projek ECRL yang telah melalui beberapa fasa kepimpinan negara sejak mula dicadangkan sekitar 2016 dan 2017.
Paduka Baginda bertitah, kesinambungan pelaksanaan projek berkenaan melibatkan lima Perdana Menteri serta tiga Yang di-Pertuan Agong termasuk Paduka Baginda sendiri sepanjang tempoh pembangunannya, sekali gus memperlihatkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memastikan projek itu dapat direalisasikan.
Paduka Baginda turut mengimbas perkembangan projek berkenaan yang pernah melalui proses penelitian semula susulan perubahan kerajaan pada 2018, sebelum pelaksanaannya diteruskan sehingga mencapai tahap kemajuan hampir 99 peratus ketika ini.
Sementara itu, Paduka Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) serta syarikat kontraktor yang bertungkus-lumus menyiapkan projek berkenaan, malah berjaya memulihkan kelewatan pelaksanaan sehingga kemajuannya kembali mengatasi jadual yang ditetapkan.
Paduka Baginda turut menegaskan aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan semua pihak yang terlibat dalam pengoperasian ECRL bagi memastikan perkhidmatan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Paduka Baginda berharap agar operasi ECRL sentiasa dipermudahkan, diberkati Allah SWT dan memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat serta pembangunan negara.
ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dengan jajaran Fasa Pertama Kota Bharu-Gombak sepanjang 519 kilometer melibatkan 16 stesen dan disasarkan memulakan operasi komersial pada 12 Disember 2026.
Jajaran ECRL di Pahang pula sepanjang 258 kilometer mencatatkan kemajuan pembinaan sebanyak 99.17 peratus setakat Oktober 2026. – KESULTANAN PAHANG







