KUANTAN, 24 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) KotaSAS, di sini hari ini.
Berangkat mengiringi ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar serta Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn. Bhd., Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan mendengar sembah ucapan oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi MRL, Tan Sri Dr. Shamsul Azri Abu Bakar sebelum menyempurnakan perasmian menerusi gimik khas.
Stesen ECRL KotaSAS merupakan stesen utama ECRL di Pahang yang dibangunkan di kawasan seluas 15.57 hektar dengan reka bentuk diinspirasikan daripada motif Gading Gajah Bersilang pada Jata Negeri Pahang, melambangkan keagungan adat istiadat serta sejarah diraja negeri.
Stesen berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik tetamu kehormat (VIP), ruang menunggu, eskalator, kedai serbaneka, laluan pejalan kaki dan basikal serta lebih 500 petak parkir, termasuk tempat letak kereta berbumbung solar.
Kedudukannya yang strategik dalam kawasan pembangunan KotaSAS serta berhampiran Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) dan Masjid Bandaraya bakal memperkukuh peranannya sebagai salah satu hab pengangkutan utama di Kuantan.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Jajaran di Pahang sepanjang 258 kilometer melibatkan tujuh stesen iaitu KotaSAS, Cherating, Kuantan Port City (KPC), Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong, sekali gus menjadikan Pahang negeri yang mempunyai jumlah stesen paling banyak dalam rangkaian ECRL.
Menurut Tan Sri Dr. Shamsul Azri, kemajuan pembinaan jajaran Fasa Pertama ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor telah mencapai 99.03 peratus, manakala jajaran di Pahang mencatatkan kemajuan sebanyak 99.17 peratus setakat Oktober 2026.
Operasi komersial ECRL bagi jajaran Kota Bharu-Gombak sepanjang 519 kilometer yang melibatkan 16 stesen disasarkan bermula pada 12 Disember 2026.
Perkhidmatan ECRL dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi Pantai Timur melalui peningkatan hubungan pengangkutan, perdagangan dan pelaburan, selain membuka peluang pekerjaan serta merancakkan industri pelancongan.
Malah, perjalanan dari Kuantan ke Gombak dijangka mengambil masa hanya satu jam 30 minit berbanding kira-kira tiga jam melalui jalan raya. – KESULTANAN PAHANG






