KUANTAN, 26 November 2026– Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Mantan Ketua Pesuruhjaya Pandu Puteri Cawangan Selangor, Allahyarhamah Puan Tek binti Mohd Noor yang telah kembali ke rahmatullah pada pukul 2.45 petang di Kuala Kelawang, Negeri Sembilan hari ini.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa dukacita di atas pemergian Allahyarhamah yang semasa hayat merupakan seorang pemimpin yang cukup berwibawa, tegas dan menunjukkan teladan yang sangat baik.
Allahyarhamah meninggal dunia pada usia 79 tahun akibat kanser.
Paduka Baginda berharap agar seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dikurniakan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Paduka Baginda mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah. – KESULTANAN PAHANG






