KUALA LUMPUR, 5 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan sedalam-dalam takziah kepada Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib serta seluruh ahli keluarga di atas pemergian bonda tercinta, Allahyarhamah Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar, 70, yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di ibu negara hari ini.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarhamah serta berharap seluruh keluarga diberi kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa, diterima segala amal kebajikan serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah. – KESULTANAN PAHANG







