KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan rasa kagum dan bangga terhadap legasi kepimpinan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang disifatkan sebagai seorang tokoh berwawasan, berintegriti serta mempunyai komitmen tinggi dalam memacu pembangunan negara.
Paduka Baginda bertitah, dokumentari Man Who Walked the Talk: The Tun Razak Story bukan sahaja memberikan gambaran lebih mendalam mengenai perjalanan hidup dan keperibadian Allahyarham, malah mengetengahkan pemikiran, wawasan serta hubungan Allahyarham dengan tokoh-tokoh yang pernah bersama-sama beliau sepanjang menerajui kepimpinan negara.
“Secara peribadi, saya begitu kagum dan teruja dengan dokumentari ini serta perkongsian daripada tetamu yang menceritakan hubungan mereka dengan Allahyarham Tun Abdul Razak, termasuk visi dan wawasan beliau untuk negara.
“Saya berasa bangga sebagai Sultan Pahang dan anak jati Pahang kerana seorang pemimpin yang berasal dari negeri ini telah berjaya melaksanakan pelbagai dasar penting yang membawa kemajuan kepada negara, meskipun tempoh kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri tidak begitu panjang,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut bertitah bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian teguh dan amat diperlukan dalam pentadbiran negara, khususnya ketika berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menurut Paduka Baginda, Allahyarham Tun Abdul Razak memainkan peranan penting dalam mengurus tadbir negara dan hal ehwal politik, selain memberikan tumpuan kepada perancangan pembangunan jangka panjang demi kesejahteraan rakyat.
Paduka Baginda bertitah, antara sumbangan besar Allahyarham yang terus dirasai sehingga kini ialah pembangunan tanah rancangan FELDA, khususnya dalam membuka peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar serta membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup.
Pahang sendiri memainkan peranan penting dalam perkembangan FELDA dengan penyediaan kawasan tanah rancangan, termasuk Lurah Bilut dan Sungai Koyan, yang menjadi sebahagian daripada usaha memperluas pembangunan luar bandar.
Selain itu, Paduka Baginda turut menyentuh sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pembentukan dasar dan institusi negara, termasuk Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru serta Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang menjadi antara asas penting dalam perjalanan pembangunan dan pembentukan negara.
Paduka Baginda bertitah, kejayaan pelbagai dasar tersebut mencerminkan wawasan dan kesungguhan Allahyarham Tun Abdul Razak dalam membangunkan infrastruktur, memperkukuh ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat tanpa mengira latar belakang.
Paduka Baginda turut berkongsi kenangan ketika masih muda, apabila Allahyarham Tun Abdul Razak sering berkunjung ke Pahang dan menghadap keluarga diraja, termasuk ketika Paduka Baginda masih berada di luar negara dan belum mengenali Allahyarham secara peribadi.
Menurut Paduka Baginda, Allahyarham Tun Abdul Razak juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Pahang dan sering meluangkan masa untuk pulang ke negeri kelahirannya, termasuk mengunjungi Pekan yang mempunyai nilai sentimental dalam kehidupan Allahyarham.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berharap agar legasi kepimpinan dan wawasan pembangunan Allahyarham Tun Abdul Razak dapat diteruskan oleh generasi akan datang, memandangkan negara dan khususnya negeri Pahang memerlukan kepimpinan yang berintegriti, berwawasan serta mengutamakan kepentingan rakyat.
Paduka Baginda turut menyeru rakyat agar memberikan sokongan terhadap usaha penganjuran program dan pameran yang mengangkat sejarah serta sumbangan tokoh-tokoh negara, khususnya bagi memastikan generasi muda memahami perjuangan pemimpin terdahulu dan menghargai asas pembangunan yang telah dibina. – KESULTANAN PAHANG
———








