RAUB, 8 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan rasa kesal apabila kawasan tanah yang diteroka di tanah tinggi Cameron Highland kini kelihatan seperti ‘hutan plastik’.

“Memang saya selalu ke sana (Cameron Highlands) dan bila saya terbang (menaiki helikopter) ke sana, saya berasa sedih kerana telah lalu atas Lembah Bertam, kita tengok dah macam bukan hutan lagi dah tetapi macam hutan plastik je.

“Boleh saya kata, kategori itulah. Hutan plastik (pemandangan rumah plastik tanaman) dah berada di Lembah Bertam ini. So, itulah nasi dah jadi bubur.

“Jadi, mungkin satu kaedah (penyelesaian) baru akan kita kaji dan introduce (perkenalkan) kepada kerajaan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat bercemar duli ke tapak operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Batu 3 Sungai Ruan-Sungai Klau.

Paduka Baginda berkenan meninjau sendiri kawasan pencerobohan serta pokok-pokok durian yang ditebang dalam operasi penguatkuasaan (Ops Sekat) sebelum ini.

Sebelum itu, Paduka Baginda berkenan berangkat ke Pejabat Daerah dan Tanah Raub untuk mendengar taklimat dan melihat operasi harian di pejabat berkenaan.

Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -KESULTANAN PAHANG