CAMERON HIGHLANDS, 13 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Surau Al Amin, Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands, hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut hadir YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Razarudin bin Husain serta Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Yahaya Othman.
Sementara itu Paduka Baginda dalam titah menzahirkan rasa bangga di atas pembinaan surau ini yang bukan sahaja menjadi mercu tanda keimanan, tetapi juga bukti kesungguhan dalam memperkukuhkan institusi ibadah khususnya di Jabatan Perkhidmatan Awam di Negeri Pahang.

“Saya masih ingat pada Mac 2023 yang lalu, saya telah berangkat merasmikan majlis pecah tanah bagi surau ini. Alhamdulillah, hari ini impian yang telah dicetuskan beberapa tahun yang lalu telah menjadi kenyataan.

“Ini semua tidak akan terlaksana tanpa keazaman dan kesungguhan semua pihak yang terlibat termasuklah, mantan Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Haji Shamsuri bin Mohd Nor yang telah memainkan peranan dalam memastikan kelancaran pembinaan surau ini,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada LBS Bina Group Berhad yang telah berbesar hati membiayai keseluruhan pembinaan surau yang bernilai RM5 juta ini.

“Usaha murni ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota polis dan masyarakat setempat tetapi juga mencerminkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Lebih daripada itu, usaha ini mencerminkan nilai perpaduan, dan keharmonian antara kaum, serta agama yang menjadi tunjang kestabilan dan kesejahteraan negeri ini,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG