JERANTUT 12 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah mahu tindakan tegas dikenakan kepada pihak yang sengaja membakar api kemarahan umat Islam dengan sewenang-wenangnya menghina dan mencabar kesuciannya.

“Bagi mereka yang berani menghina Islam, mencabar kesuciannya dan menyemai kebencian terhadap agama Allah haruslah dikenakan tindakan yang setimpal mengikut undang-undang.

“Pihak berkuasa wajib mengambil tindakan yang tegas tetapi adil, memberi pengajaran tanpa membakar emosi mana-mana pihak serta memastikan keadilan ditegakkan demi kestabilan negara tercinta,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat memasyhurkan nama Masjid Baharu Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdul Rahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau di sini semalam.

Paduka Baginda menegaskan bahawa dalam soal ini golongan yang paling perlu memainkan peranan adalah kerajaan dan para pemimpin. -KESULTANAN PAHANG
