SARAWAK, 31 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Malam Mesra Pahang-Sarawak di Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua disambut Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed serta Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Paduka Baginda berdua berkenan menonton tayangan video khas sebagai penghargaan terutamanya sepanjang Kembara Kenali Borneo pada 2023 ke Sabah dan Sarawak yang menjadi saksi terpahatnya kasih dan jalinan silaturahim antara Paduka Baginda berdua dengan rakyat Borneo.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menzahirkan penghargaan di atas undangan Sarawak dan malam ini cukup istimewa kerana kali pertama Paduka Baginda berdua kembali ke Sarawak selepas dua tahun Kembara Kembara Borneo.
“Saya terharu dan pilu.. ia membawa kenangan yang cukup-cukup berharga buat keluarga saya dan sudah pasti tidak akan lupa kembara dua tahun lalu. Sejujurnya rakyat Sarawak sentiasa di hati saya, ini bukan buat-buat, sekali sekala saya flashback tengok video-video lama sepanjang kita kembara jelajah daripada Sabah hingga Sarawak. Rakyat Sabah juga sentiasa di hati, walau jauh di mata tetapi sentiasa dekat di hati, Sabah dan Sarawak,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda mengulangi hasrat untuk mewujudkan penerbangan Air Borneo di kedua-dua buah negeri ini direalisasikan dan memulakan operasi dalam masa terdekat.
“Apa salahnya kalau Air Borneo singgah di Kuantan, dan kita akan promote (promosi) kecantikan Sarawak dan juga keindahan Pahang kepada kedua-dua negeri… secara tidak langsung dapat mendekatkan silaturahim antara rakyat Pahang dan Sarawak.
“Kalau tak boleh Air Borneo, mungkin dengan Sea Borneo. Mungkin syarikat-syarikat persendirian boleh mengkaji supaya dapat menghidupkan semula (perkhidmatan) feri seperti tahun 80-an. Sedikit sebanyak ini adalah usaha untuk mengeratkan lagi hubungan,” titah baginda.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menyifatkan lawatan selama empat hari ke negeri ini akan menjadi satu lawatan yang cukup istimewa yang menyatukan silaturahim antara Paduka Baginda, keluarga diraja serta negeri Pahang dengan Sarawak. -KESULTANAN PAHANG








