KUALA TERENGGANU, 24 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat ke istiadat pemakaman Almarhum YAM Tengku Datuk Seri Dr. Tengku Baderul Zaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda bersama paduka-paduka anakanda, YAM Tengku Panglima Raja serta isteri, YHM Che Puan Panglima dan YAM Tengku Panglima Perang merupakan penghormatan terakhir dan menzahirkan rasa simpati kepada isteri Almarhum, YBhg To’ Puan Seri Wan Hidayah binti Wan Ismail serta seluruh ahli keluarga kerabat diraja Terengganu.
Almarhum YAM Tengku Baderul Zaman, 52, selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada jam 6.10 petang.
Istiadat pemakaman turut disaksikan DYMM Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berkenan berangkat bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.
Mufti Terengganu, Prof. Dr. Syed Hadzrullathfi Syed Omar, menyempurnakan bacaan surah yasin diikuti tahlil dan doa.
Almarhum YAM Tengku Baderul Zaman mangkat pada jam 1.20 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.-KESULTANAN PAHANG





