ROMPIN, 24 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin yang berlangsung di Pantai Hiburan, di sini hari ini.
Sejurus keberangkatan tiba, Paduka Baginda berdua berkenan menyaksikan persembahan payung terjun oleh Unit 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang memperlihatkan kemahiran anggota melakukan penerjunan udara serta pendaratan tepat ke sasaran yang ditetapkan.
Aksi tersebut melibatkan sebuah helikopter AW139 milik Pasukan Gerakan Udara PDRM yang membawa enam anggota penerjun 69 Komando. Pesawat berkenaan dikendalikan oleh Supritendan Mohd Fairuz bin Jamil selaku kapten pesawat dan Deputi Superintendan Muhammad Amir bin Isa sebagai pembantu juruterbang.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat ke pentas utama untuk menyaksikan tayangan montaj Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin sebelum menyempurnakan gimik perasmian sambutan berkenaan.
Majlis turut menyaksikan pembentangan buku komemoratif Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin oleh pegawai penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), yang mengetengahkan sejarah serta perkembangan daerah berkenaan sepanjang lima dekad.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat, Paduka Baginda berdua turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan kepada 200 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf dan masyarakat Orang Asli.
Sambutan Jubli Emas Daerah Rompin menjadi wadah untuk mengenang perjalanan pembangunan daerah itu sepanjang 50 tahun, selain menghargai sumbangan pelbagai pihak dalam memajukan Rompin serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. — KESULTANAN PAHANG





