KUANTAN, 3 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada semua calon di seluruh negeri Pahang dan Malaysia amnya.
Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar semua calon menduduki peperiksaan dengan tenang, berdisiplin serta yakin dengan kemampuan diri masing-masing setelah berusaha dan membuat persediaan rapi.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar segala urusan calon dipermudahkan dan dikurniakan kejayaan yang cemerlang, seterusnya menjadi generasi berilmu yang akan menyumbang kepada kemajuan agama, bangsa dan negara.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berdua turut menyampaikan penghargaan kepada para guru, ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberikan sokongan moral dan bimbingan kepada anak-anak sepanjang tempoh pembelajaran mereka.
“Teruskan berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Semoga kejayaan menjadi milik kalian semua,” titah Paduka Baginda berdua. -KESULTANAN PAHANG







