SARAWAK, 2 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar; Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, pihak pengurusan Kerajaan Negeri Sarawak, rakyat Sarawak serta semua pihak yang terlibat sepanjang lawatan Paduka Baginda berdua selama empat hari di bumi kenyalang ini yang berlangsung dengan penuh tertib, meriah dan bermakna.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah di atas kejayaan menganjurkan Sarawak Regatta 2025 dan Festival Gendang Sarawak 2025 yang bukan sahaja memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat bahkan berjaya menonjolkan keindahan warisan serta kekayaan budaya Negeri Sarawak yang amat membanggakan.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah bahawa keharmonian dan perpaduan yang terpancar di bumi Sarawak di antara pelbagai kaum dan etnik yang melibatkan sebanyak 27 etnik besar seperti Iban, Cina, Melayu, Bidayuh , Orang Ulu dan Melanau manakala 74 etnik kecil seperti Kelabit, Bisaya, Kenyah, Kayan, Penang, Lunbawang, Bisaya dan Brunei amat wajar dicontohi oleh seluruh negeri di Malaysia, khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama.
Sikap saling menghormati, toleransi serta semangat muafakat yang diamalkan oleh rakyat Sarawak merupakan asas penting dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati bersama pada masa kini.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut mendoakan semoga negeri Sarawak terus maju, aman dan makmur di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan YAB Premier Sarawak. -KESULTANAN PAHANG






