KUALA LUMPUR, 5 November 2025 –Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke acara ‘Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports’ di Stadium Merdeka di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakari serta Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj.
Acara simbolik anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama ShekhinahPR ini menghimpunkan lebih 150 tetamu jemputan termasuk legenda-legenda sukan dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Majlis penuh bermakna ini turut menjadi simbol penyatuan rakyat Malaysia dalam semangat kesukanan, perpaduan dan kesejahteraan selain memperingati peranan Stadium Merdeka sebagai mercu tanda warisan nasional yang terus menjadi nadi kebanggaan negara.
Antara yang hadir ialah Datuk Leong Mun Yee, bekas ratu terjun negara yang lima kali beraksi di Olimpik; Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bekas kapten hoki lelaki kebangsaan yang menyertai tiga temasya Olimpik; dan Shanti Govindasamy, bekas pelari pecut wanita yang memegang rekod kebangsaan 100 meter selama 31 tahun.
Turut hadir Jagjit Singh, bekas kapten pasukan ragbi kebangsaan dan Selangor era 1970-an dan 1980-an; dua legenda bola sepak tanah air Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann; serta jaguh badminton negara Datuk Rashid Sidek, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996.
Menerusi YASA, KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM60,000 kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan RM40,000 kepada Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Negeri dan Kebangsaan, sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan terhadap jasa wira-wira sukan tanah air.
Inisiatif diraja ini turut mendapat sokongan Bata, yang meraikan ulang tahun ke-95 jenama tersebut di Malaysia, bersama rakan strategik seperti FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika, dan Prince Court Medical Centre. -KESULTANAN PAHANG






