KUALA LUMPUR, 10 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Sambutan ‘A Decade of Joy’ anjuran The Parenthood yang berlangsung di taman permainan bertema London milik jenama tersebut di Sunway Pyramid, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan menandatangani plak peringatan sempena meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan The Parenthood sebelum berangkat meninjau kemudahan yang disediakan di pusat berkenaan.
Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan persembahan kanak-kanak termasuk tarian ‘Kuda Kepang’ oleh Tabika Perpaduan PPR Lembah Subang 2 serta tarian moden oleh penghuni Rumah Good Samaritan.
Pada majlis berkenaan, The Parenthood turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 masing-masing kepada Tabika Perpaduan PPR Lembah Subang 2 dan Rumah Good Samaritan selain sumbangan RM30,000 kepada Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) sebagai tanda penghargaan terhadap usaha murni yayasan itu dalam memperkasa komuniti dan kerja-kerja kebajikan. -KESULTANAN PAHANG






