KUANTAN, 11 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg atas penganugerahan The Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star oleh Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito, hari ini.
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pengiktirafan tertinggi negara matahari terbit itu yang mencerminkan penghargaan terhadap kepimpinan cemerlang Premier Sarawak dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan, tenaga hijau, serta pembangunan mampan.
Penyampaian anugerah yang berlangsung di Tokyo, Jepun itu turut dianggap sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap komitmen berterusan Sarawak di bawah pimpinan Premier dalam memperjuangkan kemajuan rakyat, pembangunan negeri serta kelestarian alam sekitar.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar Premier Sarawak terus diberi kekuatan, kesihatan dan kebijaksanaan untuk meneruskan kepimpinan berwawasan sekali gus membawa negeri Sarawak mencapai lebih banyak kejayaan dan kesejahteraan rakyat pada masa hadapan. – KESULTANAN PAHANG






