KUANTAN, 2 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan harapan agar lebih ramai penerima zakat mampu kembali membantu asnaf lain dalam membina kehidupan yang lebih baik.
“Saya harap dalam usaha kita untuk membantu asnaf-asnaf ini, kita juga meningkatkan usaha untuk mengeluarkan asnaf-asnaf ini dari belenggu kemiskinan.
“Kita harap mereka akan menjadi pembayar zakat masa akan datang dan ini adalah satu teras bagi Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP),” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Badan Korporat di Istana Abdulaziz, hari ini.
Dalam pada itu mengulas berkenaan usaha berkenaan (asnaf berjaya), Paduka Baginda mengakui usaha yang dilakukan MUIP telah membuahkan hasil, namun ia masih perlu dipertingkatkan.
“Alhamdulillah tapi tak begitu ramai lagi (asnaf berjaya), sebab itu saya nak mereka meningkatkan usaha ini supaya mereka dapat membayar zakat dan dapat mengeluarkan zakat pula.
“Pada itu mereka dapat juga membantu keluarga sedikit sebanyak dan boleh hidup secara lebih selesa dan sejahtera,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar lebih banyak syarikat korporat tampil menunaikan kewajipan menunaikan zakat bagi melancarkan lagi usaha membantu golongan asnaf terutamanya di negeri ini. -KESULTANAN PAHANG







