KUANTAN, 5 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat merasmikan Gimnasium Mahkota di Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 3 petang disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Dato’ Sri Nor Hisham Mohammad serta Pengarah JBPM Pahang Dato’ Mohd Razam Taja Rahim.
Sejurus ketibaan, Paduka Baginda berkenan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Dato’ Mohd Razam berkenaan operasi gimnasium berkenaan yang turut memerima kurniaan 15 buah peralatan daripada Paduka Baginda sekaligus melengkapkan kemudahan latihan fizikal di balai berkenaan.
Sementara itu ketika ditemui media, Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita kerana dapat meneruskan inisiatif menyediakan kemudahan kecergasan kepada pelbagai agensi kerajaan selepas sebelum ini mengurniakan kemudahan sama kepada beberapa organisasi termasuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kem Jugra dan Kelab Polo Diraja Pahang.
“Sukan dan latihan gimnasium memang menjadi kegemaran saya sejak sekian lama. Saya cuba melihat keperluan agensi-agensi kerajaan khususnya pasukan barisan hadapan seperti bomba, polis dan tentera supaya mereka mempunyai kemudahan yang lebih baik untuk menjalani latihan secara lebih rapi dan intensif.
“Melalui kemudahan ini, saya berharap mereka sentiasa berada dalam keadaan sihat dan cergas bagi meneruskan tanggungjawab membantu masyarakat yang memerlukan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan penting yang dimainkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam menjaga keselamatan rakyat.
“Pasukan bomba merupakan antara agensi barisan hadapan yang amat penting bagi negeri Pahang. Dalam pelbagai situasi kecemasan, sama ada kebakaran, kemalangan besar mahupun kejadian-kejadian kecil yang berlaku di rumah, merekalah antara pihak yang paling awal tiba di lokasi untuk memberikan bantuan.
“Kadangkala perkara yang dianggap kecil seperti menangkap ular atau membantu individu yang menghadapi masalah tertentu turut memerlukan khidmat pasukan bomba. Sebab itulah saya mahu melihat anggota-anggota agensi keselamatan ini sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan cergas,” titah Paduka Baginda..
Mengulas mengenai kepentingan bersukan dalam kalangan masyarakat, Paduka Baginda bertitah bahawa amalan gaya hidup aktif tidak seharusnya terhad kepada golongan muda sahaja, sebaliknya perlu diamalkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
“Saya menggalakkan semua golongan, sama ada yang muda mahupun yang berusia, untuk terus aktif bersukan dan menjalani aktiviti yang menyihatkan tubuh badan.
“Kita dapat melihat ramai dalam kalangan generasi terdahulu masih kekal sihat dan bertenaga kerana sentiasa aktif melakukan pelbagai aktiviti harian seperti berkebun dan bekerja. Jika kita dapat mengamalkan aktiviti sukan secara lebih teratur dan berstruktur, insya-Allah ia mampu membantu meningkatkan tahap kesihatan serta menyumbang kepada kualiti hidup yang lebih baik dan usia yang lebih panjang,” titah Paduka Baginda.-KESULTANAN PAHANG








