KUANTAN, 12 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada anak jati Negeri Pahang, Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer, atas kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah global berprestij, World Summit Awards yang berlangsung di Vienna, Austria.
Kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja kepada Negeri Pahang, malah kepada seluruh negara apabila anak tempatan berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa melalui inovasi dan keusahawanan digital.
Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer, 36 tahun, yang merupakan pengasas syarikat pemula teknologi Semart, menerima pengiktirafan berkenaan hasil pembangunan aplikasi yang membantu usahawan mikro mengurus kewangan serta merekod jualan secara digital dengan lebih cekap dan sistematik.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berdua turut menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan tersebut yang dilihat sebagai manifestasi keupayaan generasi muda Pahang dalam meneroka bidang teknologi, inovasi dan keusahawanan digital.
Semoga pencapaian dan kejayaan Nadzrul Hanif Ahmad Nadzer akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Pahang untuk berani mencipta peluang, meneroka bidang teknologi dan inovasi serta terus berusaha mencapai kecemerlangan demi kemajuan negeri dan negara. -KESULTANAN PAHANG







